Sunday, 7 October 2012

Manusia dan teknologi



Yup.!.. Form 1..Urm,,niy oam cola f!ey..nme sbnaa Haf!zah..


Khidmat pesanan ringkas ( SMS) yang saya terima baru-baru ini amat merimaskan saya. Manakan tidak,  bahasa yang digunakan terang-terang telah melanggar etika berbahasa dengan bahasa yang betul. Saya geram dengan perkara seperti ini. Saya terfikir-fikir apakah yang membuatkan hal ini berlaku ? .




Kadang-kadang teknologi disekitar kita melalaikan kita daripada berbahasa dengan betul. Penggunaan SMS dan laman sesawang yang memudahkan perhubungan menyebabkan remaja-remaja sekarang amnya terlalu mudah memandang enteng tentang bahasa Melayu. Terlalu ringkas ejaannya sehingga rosak struktur ayat seperti yang saya nyatakan diatas. Saya sebagai pelajar bahasa Melayu walaupun kadang-kadang turut meringkaskan perkataan yang panjang menjadi pendek ketika menghantar SMS , namun tidaklah dikira ketara seperti ucapan Assalamualaikum (salam) dan waalaikummussalam ( wassalam ). 

Tapi ayat diatas sudah keterlaluan menyebabkan saya berfikir sejenak, inikah bangsaku yang akan memartabatkan bahasa Melayu akan datang. Memikirkan hal demikian, saya berasa terpanggil untuk menyedarkan bangsa saya sendiri bahawa gunalah bahasa dengan betul. Jangan memalukan bangsa kita sendiri. Teknologi bukanlah tempat kita memperlekehkan bahasa kita sendiri..

Bahasa jiwa bangsa...
Tanpa bahasa, tiada bermakna bangsa itu...

Bahasa Slanga


Bahasa Slanga…???
 Apa makna sebenarnya bahasa ini.? Menurut kajian-kajian yang dilakukan disekolah-sekolah, banyak definisi yang diutarakan oleh remaja-remaja. Contohnya ada yang menyatakan bahawa slanga ialah dialek, ada yang mengaitkan slanga dengan cara pertuturan (saya fikir pelajar itu merujuk kepada telor percakapan)dan ada juga yang menyatakan slanga sebagai bahasa mesra. Walaupun bentuk bahasa slanga termasuk dalam jenis bahasa bahasa tak formal yang digunakan untuk perbualan biasa, pengaruh bahasa slanga ini kepada remaja agak membimbangkan.

Sebenarnya slanga menurut Kamus Dewan, didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi". Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya. Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeda dengan kata kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.
Jika dilihat kepada fenomena alam remaja sekarang ini, mereka sudah mampu mencipta perkataan sendiri yang lari dari ejaan baku. Sebagai contohnya ‘ayam’(pempuan), ‘pakwe’(teman lelaki) dan lain-lain lagi. Industri muzik turut memainkan peranan yang besar dalam penyebaran bahasa slanga ini, contohnya ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.

Teringat baris-baris perkataan yang diucapkan oleh seorang sahabat perempuan baru-baru ini:
                “eh jambu la budak lelaki ini”

BIARLAH  GAMBAR BERBICARA





Tuesday, 2 October 2012

Pantun Melayu dalam Perkahwinan


                         

Pantun…Dalam budaya Melayu khususnya, sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu. Pantun ini sudah sebati dengan mereka. Dalam aspek perkahwinan misalnya, masih ada yang menggunakan pantun sebagai pemula bicara. Hal ini terjadi kepada saya ketika mengikuti rombongan perkahwinan abang saudara saya di Melaka. Seronok melihat mereka berbalas pantun sesama mereka sendiri.Saya dapati, melalui berpantun sebegini, mereka dapat menjalinkan silatulrahim dengan lebih erat lagi. Lebih-lebih lagi, sebagai “pendatang baru” dalam keluarga tersebut, memang perlulah keluarga pihak kami ini menghormati dan belajar serba sedikit tentang pantun untuk digunakan dalam upacara berbalas pantun terbabit. Suasana ketika itu sangat meriah dengan paluan gendang dan dendangan muzik qasidah.


Besar langsat kuale betung
Rampak rumput dari jerami
Besarlah hajat nan kami kandung
Menjemput hadirin ke majelis ini.

Sudah lame air surut di tanjung
Sampan tertambat tali bersimpul
Sudah lame niat dikandung
Insya Allah kini kian terkabul.

Tertunduk malu puteri dipingit
Wajahnya sendu bernasib malang
Bertangkup bumi dengan langit
Adat Melayu tak akan hilang.
                                     

Bahasa Bomoh...




Bomoh… apa itu bomoh.. Bomoh juga dikenali dengan panggilan dukun, pengubat alternatif, pengubat tradisional, tabib, para normal dan pawang. Ia dapat didefinisikan sebagai orang yang mengubati orang sakit dengan cara kampung dan jampi-jampi yang menyalahi dari sisi Islam. Kebiasaannya mereka ini menggunakan khidmat khadam atau pembantu dari kalangan iblis dan jin.
Berbeza dengan bomoh, terdapat juga orang yang mengubat dengan perubatan tradisional yang menggunakan tumbuhan dan herba untuk mengubati pesakit dan ini adalah tidak salah dari sisi islam. Pengubat tradisional ini tidak menggunakan jampi yang salah di sisi Islam dan hanya menggunakan jampi yang dibenarkan oleh Islam.
Berbanding pengamal perbomohan yang melanggar ajaran agama Islam, pengamal perubatan Islam dan tradisional yang dibenarkan dalam Islam mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
1. Menjalankan kaunseling dan dakwah islamiah kepada pesakit.
2. Gemar mengatakan bahawa setiap bala musibah bukanlah disebabkan oleh orang yang menyihir dan dengki tetapi adalah di atas kehendak dan kekuasaan Allah jua.
3. Tidak memberikan sebarang tangkal azimat untuk dibawa balik namun untuk kes-kes tertentu (bukan semua kes) ada diberikan air yang dijampi secara Islam.
4. Tidak ada pengeras dan pemutus ubat.
5. Tidak menentukan sebarang bayaran tetapi sedia menerima sebarang amaun sebagai hadiah. (dibenarkan dalam Islam mengikut hadis sahih – cerita nak sembelih kambing pemberian orang sakit yang dah sembuh)
6. Ada memberikan ubat yang disediakan dari tumbuhan, herba atau dari campuran bahan-bahan tertentu dan diiktikadkan sebagai jual beli ubat.
7. Mengaku tidak ada kuasa ghaib


Diatas saya telah memberikan definisi secara am tentang bomoh yang dipetik daripada “link” diatas. Untuk pengetahuan pembaca, saya mempunyai pengalaman secara langsung dengan bomoh yang menggunakan jin dan syaitan sebagai perantaraan. Namun bukan itu yang saya ingin ceritakan, apa yang ingin saya ceritakan ialah ayat yang digunakan oleh mereka sukar difahami. Bukan daripada Bahasa Arab ( Al-Quran) tetapi semacam seperti mentera (kurang pasti dengan apa yang didengari) namun, apa yang pasti sememangnya bahasa itu sukar difahami oleh manusia biasa.
Disitu saya melihat percampuran dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dengan bahasa selain bahasa melayu. Hal ini menunjukkan bahawa mungkin bomoh itu berhubung dengan makhluk lain menggunakan bahasa yang hanya difahami oleh mereka sahaja. Tidak difahami oleh manusia biasa yang tidak belajar tentang bahasa itu.

Papan tanda ooo papan tanda


Papan Tanda Tanjong Malim yang Lama

Memang kegemaran saya melayari internet. Sedang saya asyik melayari internet, saya ternampak satu gambar yang menarik perhatian saya. Gambar itu ialah gambar papan tanda Tanjong Malim
                                                          
Apa yang membuatkan saya terhenti seketika untuk melihat gambar ini ialah perkataan yang dieja iaitu “Tanjong Malim” dan bukannya “Tanjung Malim”. Pernah dahulu semasa semester ke dua (kalau tidak silap saya), pensyarah saya pernah memberitahu bahawa papan tanda Tanjong Mali m ini tidak berubah dan masih digunakan sehingga sekarang walaupun ejaan yang telah dibakukan ialah “Tanjung Malim”.
Pada pendapat saya, mungkin nama kawasan ini telah diberi keistimewaan untuk mengekalkan nama “Tanjong Malim” ini kerana sudah menjadi identiti pada kawasan itu.


 Papan Tanda Di KTM Tanjung Malim
Yup. Ini pula papan tanda yang terbaharu dikeluarkan oleh kerajaan tempatan daerah Tanjung Malim, jika dilihat ejaannya telah diubah daripada "Tanjong Malim" kepada "Tanjung Malim". Tetapi masih digunapakai perkataan "Tanjong Malim" untuk urusan lain-lain .


                                                              

Monday, 1 October 2012

'beb'


Entiri ini dibuat berdasarkan kepada kuliah yang saya lalui sebentar tadi pada jam 5-7.30.  Kelas itu ialah kelas puisi melayu. Saya tertarik dengan perkataan "beb" yang diluahkan oleh pensyarah saya, di bawah ini saya sertakan beberapa patah ayat yang diutarakan oleh beliau..

"Jangan main-main beb….Rm 10 ribu  orang bagi.."
"Inilah kekejaman orang-orang Myanmar keatas etnik Rohinghya beb."

Mungkin penggunanaan “beb” ini memenuhi tidak standard piawai Bahasa Melayu yang baku, namun saya berpendapat bahawa penggunaan “beb” itu mungkin merujuk kepada kata penegasan disitu.Contohnya, jika ayat itu hanya berbunyi “jangan main-main” secara intonasinya , tiada penegasan disitu. Hal ini menunjukkan, penggunaan kata “beb” itu memberi penekanan yang bersungguh-sungguh kepada  audian iaitu pelajar-pelajar didalam kelas itu bahawa apa yang pensyarah saya katakan adalah sesuatu yang serius. “Beb” itu juga saya andaikan juga bahawa menunjukkan kata ganti nama bagi menggantikan pelajar itu sendiri.





Contohnya seperti ini
Jangan main-main beb…Rm 10 ribu orang bagi
                Jika digugurkan “beb” itu, maka jadilah ayat seperti ini :

Jangan main-main pelajar-pelajar…Rm 10 ribu orang bagi..

Jadi kesimpulannya, penggunaan sesuatu perkataan itu jika difahami dengan teliti dan difahami dengan betul, mempunyai maksud tersirat yang tersendiri walaupun kosa kata terbabit tidak berada dalam kalangan kosa kata mengikut tatabahasa dewan.

Bahasa Isyarat...


Entri seterusnya mengenai bahasa isyarat. Perlakuan bahasa isyarat ini saya perhatikan semasa saya dalam perjalanan pulang ke Universtiti Pendidikan Sultan Idris pada semester lepas di perhentian bus Kuala Terengganu. Melihat perlakuan mereka pada mula-mulanya saya beranggapan mereka seperti bermainmenggunakan tangan dan mimik muka. Namun setelah diteliti dengan baik, saya menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang berkomunikasi menggunakan isyarat tangan dan mimik muka yang tidak kita fahami andai kita tidak pelajarinya.

Saya perhatikan, walaupun mereka ada masalah dari segi percakapan (bisu ) dan masalah  pendengaran ( pekak) namun, itu tidak menjadi halangan kepada mereka untuk melakukan interaksi. Hal ini kerana mereka telah mempelajari langkah-langkah untuk berkomunikasi yang berlainan daripada orang normal seperti biasa. Barulah saya sedar, komunikasi bukanlah berdasarkan bunyi sahaja, tetapi komunikasi juga berbentuk bahasa isyarat dan gerak badan.Dan saya juga menyedari bahawa komunikasi bergantung kepada pemahaman dari segi penerimaan seseorang itu. Tidak berhasil komunikasi itu juga jika seseorang itu tidak memahami apa yang dituturkan oleh si penutur kepadanya. 


Contohnya, si penutur berbangsa melayu tetapi si penerimanya berbangsa arab. Komunikasi antara mereka tidak akan berhasil selagi mereka tidak memahami bahasa sesama mereka.